Tuesday, March 9, 2010

Pasukan UTHM Eco-Challenge Bersedia Untuk Perodua Eco-Challenge 2010


Rawang Feb, 24 - Perodua Eco-Challenge kembali lagi! Meneruskan tema yang telah digunakan pada tahun lepas, edisi tahun ini berusaha untuk mempromosikan pembangunan kenderaan bermotor yang sesuai dengan persekitaran dari segi bahan api yang efisien dan ekonomi. Aktiviti ini akan menyaksikan 12 institusi pengajian tinggi menguji keberanian dalam persaingan kemahiran kejuruteraan melalui satu perlumbaan menggunakan sebuat Perodua Viva di Litar Antarabangsa Motorsport Melaka (MIMC) pada Jun 26, 2010.

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), yang diketuai oleh Dr Ahmad Jais Alimin, Ketua Jabatan Kejuruteraan Loji dan Automotif (JKLA), telah menyertai upacara penyerahan kenderaan yang diadakan di 'Perodua Learning Centre' di Rawang. Pada upacara itu, sebuat Viva 1.0 telah diserahkan kepada setiap 12 institusi pengajian tinggi masing-masing untuk digunakan dalam perlumbaan. Upacara penyerahan ini merupakan tanda bermulanya Perodua Eco-Challenge 2010, dan ini merupakan kemuncak kepada proses pemilihan yang dilakukan sebelumnya. Pada pemilihan peringkat pertama, UTHM beserta 26 lagi institusi pengajian tinggi awam dan swasta dijemput untuk menyediakan dan menghantar kertas cadangan berkenaan sebarang modifikasi yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kecekapan tenaga kenderaan. Dilaporkan, hanya 23 institusi sahaja yang menghantar kertas cadangan tersebut, dan hanya 12 terbaik yang dipilih untuk meneruskan ke peringkat pertandingan.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut UTHM menyertai Perodua Eco-Challenge. Dalam perlumbaan Myvi Perodua Eco-Challenge 2009 tahun lepas, MyCitrus UTHM telah merekodkan 21.6 km per 1 liter Petronas Primax, dan memperolehi tempat ke-4 dalam Kategori Manual. Selain daripada UTHM, institusi-institusi lain yang berjaya melayakkan diri ke peringkat pertandingan termasuklah Universiti Sains Malaysia (USM), Politeknik Ungku Omar (PUO), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Industri Selangor (Unisel). Penyertaan institusi baru pada tahun ini ialah Universiti Kuala Lumpur-Malaysia-France Institute (UniKL-MFI), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)

12 kereta, dengan nilai keseluruhannya kira-kira RM470,000, telah diberikan ke semua institusi melalui pengundian yang disaksikan oleh wakil-wakil dari setiap institusi. Perodua juga memberikan kepada setiap institusi satu tabung pembangunan sebanyak RM10,000 bagi memulakan aktiviti-aktiviti ke arah mengurangkan penggunaan bahan bakar kenderaan seminimum mungkin. Projek ini benar-benar terbukti menjadi cabaran besar kerana Perodua Viva sememangnya sudah diketahui sebagai salah satu kereta yang mempunyai penjimatan minyak yang tinggi di jalan raya hari ini.

Viva yang dilancarkan pada Mei 2007 telah memenangi beberapa anugerah termasuklah 'Malaysian Book of Records 2008' sebagai 'The Most Fuel Economy Challenge' bagi kedua-dua kategori, 660cc and 1,000cc. Berdasarkan ujian daripada Perodua, bagi transmisi manual 660cc telah merekodkan perjalanan sejauh 1,461 km dengan menggunakan 52.12 liter minyak, puratanya ialah 28km/liter. Bagi transmisi manual 1,000cc pula, perjalanan sejauh 1,471 km telah menggunakan 53.68 liter minyak dengan puratanya ialah 27.4km/liter. Ini merupakan satu penanda aras bagi pasukan Eco-Challenge UTHM, yang terdiri daripada pelajar Kelab Kejuruteraan Mekanikal yang dibantu oleh para pelajar dari fakulti lain dan juga 'Automotive Research Group' (ARG). Pasukan ini telah merancang beberapa pengubahsuaian secara teknikal dalam usaha untuk menyediakan peningkatan jarak perjalanan pada kenderaan.


UTHM menerima ViVa Elite AT 1.0 untuk Perodua Eco-Challenge 2010.

Pemenang Perodua Eco-Challenge akan dinilai melalui jarak perjalanan terhadap pengubahsuaian kenderaan yang menggunakan 1 liter petrol RON 95. Sebagai tambahan, markah akan diberikan berdasarkan penghiasan pada kenderaan dan juga sokongan daripada kalangan pelajar.

Pemenang hadiah utama bagi kategori manual dan automatik akan menerima hadiah sebanyak RM20,000; kedua sebanyak RM10,000 dan ketiga sebanyak RM5,000. Dalam kategori kejuruteraan, RM10,000 bagi juara, sememtara tempat kedua sebanyak RM5,000 dan tempat ketiga sebanyak Rm3,000.

Adalah diharapkan pertandingan ini akan memberikan inspirasi kepada semua pelajar kejuruteraan, terutamanya daripada pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, bagi menyokong pasukan Eco-Challenge UTHM. Ini merupakan peluang yang bagus bagi para pelajar dan staf untuk memperoleh dan mengaplikasikan pengetahuan mereka di dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan automotif. Selari dengan penyertaan ke pertandingan ini, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan akan mengadakan satu program pemilihan pemandu yang dipanggil 'Driver Idol'. Oleh yang demikian, setiap warga UTHM digalakkan untuk menunjukkan sokongan mereka kepada pasukan dengan menyumbang dan menyertai sebarang aktiviti yang akan diadakan kelak.




No comments:

Post a Comment